Pelajar luar negara gembira sertai program pertukaran belia
Sebahagian pelajar luar negara menunjukkan kain batik semasa lawatan mereka ke Kota Bharu, baru-baru ini.
KOTA BHARU 23 Ogos - Menyertai Program Pertukaran Belia Kelab Lions Antarabangsa selama 10 hari bermula 12 Ogos lalu di negeri ini memberi pengalaman menarik kepada lapan pelajar luar negara yang turut serta.
Pelajar berkenaan iaitu lima dari Jepun, dua dari Perancis dan seorang dari Itali ketika ditemui ternyata gembira menyertai program berkenaan.
Kepelbagaian jenis makanan tradisional termasuk buah-buahan dan keindahan alam semula jadi di negeri ini merupakan antara perkara yang paling mencuri tumpuan kumpulan pelajar ini.
Pelajar dari Itali, Alessandra Vella 19, berkata, dia gembira berpeluang melawat Malaysia khususnya Kota Bharu kerana menyifatkannya peluang sekali seumur hidup.
Pelajar dari Itali, Alessandra Vella 19, berkata, dia gembira berpeluang melawat Malaysia khususnya Kota Bharu kerana menyifatkannya peluang sekali seumur hidup.
"Saya paling suka ketika menikmati sate yang dimakan dengan kuah sekali. Tidak pernah saya merasa kelazatan makanan ini di tanah air saya.
"Sudah pasti apabila balik nanti saya akan berkongsi pengalaman ini dengan keluarga dan rakan-rakan saya di sana," katanya.
Remaja dari Bandar Acqvi Torme iaitu terletak tujuh jam perjalanan keretapi dari Rome itu juga memberitahu, dia melahirkan penghargaan kerana tinggal bersama keluarga angkat yang membawanya melawat ke tempat menarik seperti Pasar Siti Khadijah dan Pantai Cahaya Bulan.
Vella dan rakan-rakannya tinggal bersama keluarga angkat masing-masing yang terdiri daripada ahli Kelab Lions Kota Bharu.
Vella dan rakan-rakannya tinggal bersama keluarga angkat masing-masing yang terdiri daripada ahli Kelab Lions Kota Bharu.
Kesemua mereka ditemui ketika Majlis Malam Perpisahan di Resort PCB di sini sebelum berlepas ke Kuala Lumpur semalam, dan akan berangkat kembali ke negara masing-masing pada hujung bulan ini.
Rakannya, Capucine Andraud 19, dari Perancis berkata, dia gembira kerana dapat mendaki Gunung Gua Kambing setinggi 1,200 kaki di Machang .
Di situ, katanya, dia berpeluang menikmati alam semula jadi termasuk melihat monyet di tempat asalnya.
"Saya dilahirkan dan membesar di kawasan bandar oleh itu aktiviti mendaki gunung dan rapat dengan flora dan fauna adalah sesuatu yang sangat istimewa bagi saya.
"Saya berjanji pada diri saya suatu hari nanti kalau ada peluang saya pasti akan datang semula ke negara ini mungkin dengan kaum keluarga lain," ujar pelajar dari Kolej Kejuruteraan dan Biologi Industri Paris ini.
Pelajar dari Sekolah Tinggi Kagoshima, Jepun, Nozomi Shiokura 16 pula berkata, dia menyimpan hasrat untuk datang ke negara ini apabila mendapat tahu terdapat pelbagai tarikan pelancongan.
Justeru, katanya, peluang menyertai program pertukaran remaja antara kelab Lions itu membolehkannya melihat industri batik dijalankan di kalangan penduduk di negeri ini.
Katanya, walaupun pertama kali mengunjungi negara ini, tetapi dia dapat merasakan kemesraan penduduk dan dia akan membuat laporan menceritakan pengalaman itu apabila kembali nanti.