Bantu anak sindrom Down
Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my
|
naib Presiden Kelab Lions Antarabangsa, Sid L. Scruggs III (duduk, empat dari kanan) bersama isterinya, Judy, bergambar bersama kanak-kanak semasa melawat ke Pusat Sindrom Down, Pasir Hor, Kota Bharu, baru-baru ini. |
KOTA BHARU 20 Feb. - Sejak dilahirkan, Zaira (nama samaran) dari Pasir Mas disahkan menghidap sindrom Down, kecacatan genetik yang menyebabkan dia lemah berfikir dan tumbesarannya berbeza dengan rakan seusia.
Dalam usia menginjak 12 tahun, dia masih gagal menguruskan diri sendiri dan situasi tersebut merisaukan kedua-dua orang tuanya yang semakin uzur dan berpendapatan kecil.
Keadaan itu membataskan keupayaan Zaira, kerana tidak dihantar oleh keluarganya ke pusat-pusat penjagaan dan bimbingan bagi kanak-kanak sepertinya yang tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU) itu.
Sedangkan Athirah, 9, makin bijak menyesuaikan diri dengan persekitaran, boleh berkomunikasi dan membaca dengan baik, malah berupaya bermain piano melalui bimbingan Pusat Kebangsaan Yayasan sindrom Down Kiwanis di Kuala Lumpur.
Dua situasi yang berbeza di atas antara penyebab perlu diwujudkan lebih banyak pusat-pusat penjagaan khas buat golongan ini selain pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) agar tumpuan penuh dapat diberikan kepada mereka.
Di negeri ini, terdapat 29 buah PDK di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membuka peluang kepada kanak-kanak OKU termasuk penghidap sindrom Down.
Langkah yang dilakukan kerajaan untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik itu perlu mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan khalayak.
Satu-satunya pusat penjagaan sindrom Down yang diwujudkan oleh NGO di negeri ini, terletak di Pasir Hor melalui usaha Kelab Lions Kota Bharu, sejak 10 tahun lalu.
Pusat ini telah memberi peluang pendidikan kepada lebih 100 kanak-kanak sindrom Down dan mereka lulus pembelajaran Early Intervention Programme dan berjaya meneruskan persekolahan di sekolah rendah kebangsaan.
Dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk alat bantu mengajar serta permainan yang membantu tumbesaran, pusat itu memberi pendedahan dan pengetahuan semasa kepada kanak-kanak menguruskan diri serta menguasai kemahiran berkomunikasi.
Menurut Bendahari Kelab Lions Pusat Down Sindrom Kota Bharu, Joe Lee, ketika ini terdapat 22 kanak-kanak ditempatkan di pusat tersebut yang mempunyai dua sesi pembelajaran.
''Sebelah pagi dibuka sejak pukul 9 hingga 12.30 tengah hari dan sebelah petang dari pukul 2 hingga 3.30 petang dari hari Ahad hingga Khamis.
''Pusat ini mempunyai seramai empat orang guru terlatih berkaitan keibubapaan dan penjagaan kanak-kanak sindrom Down untuk memahirkan mereka dengan tugas yang diamanahkan," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambahnya, pusat itu ditubuhkan hasil sumbangan orang ramai menerusi pelbagai aktiviti kelab yang menganjurkan program-program bagi mengisi tabung kebajikan termasuk mengadakan majlis makan malam.
''Kelab turut menganjurkan pertandingan golf, jualan kupon serta mendapat sumbangan secara tetap RM100 setahun daripada 150 penderma dari seluruh negara.
''Melalui sumbangan, kelab akan mengagih-agihkan untuk bayaran sewa bulanan dan menggerakkan aktiviti di pusat tersebut namun tidak ada yuran atau bayaran yang dikenakan. Semuanya percuma," katanya.
Bagaimanapun menurut Joe Lee, selepas 10 tahun menyewa premis yang ada sekarang, kelab berusaha untuk mempunyai bangunan sendiri bagi memberi peluang lebih ramai kanak-kanak sindrom Down mendapat manfaat.
''Bagi menampung jumlah kanak-kanak yang semakin bertambah di samping menyediakan prasarana yang lebih selesa, kelab dalam perancangan membina sebuah pusat yang baru di Jalan Merbau, Kota Bharu.
''Tanah berkeluasan 23,000 kaki persegi itu akan memperuntukkan 5,500 kaki persegi untuk membina dua tingkat bangunan yang lebih selesa dan mampu memuatkan 30 kanak-kanak pada satu masa.
''Kelab menjunjung kasih kepada Sultan dan Permaisuri Kelantan atas perkenan baginda mengurniakan tanah tersebut melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Kelantan bagi membolehkan bangunan pusat sindrom Down yang baru dibangunkan," ujarnya.
Tambahnya, peruntukan RM1 juta diperlukan untuk membina bangunan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, taman permainan serta kelas-kelas pelajar menjalankan aktiviti harian.
''Buat masa ini, katanya, menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan, pihak kelab berjaya mengumpul RM400,000 dan apabila jumlah mencecah RM500,000, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini," katanya.
''Kelab masih menunggu sumbangan orang ramai serta badan-badan korporat untuk merealisasikan hasrat menubuhkan pusat tersebut kerana projek tersebut dijangka siap pada penghujung tahun ini," ujarnya.
Source : http://202.190.126.84/utusan/info.asp?y=2009&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm